Thursday 27 November 2014

K.A.M.I

Assalamulaikum...

Sudah sekian lama aku menangguh untuk mengupdate entri yang tergendala.Memang begini coretan manusia yang tidak pandai membahagikan masa,antara kerja dan belajar.Manusia itu adalah aku.Awal bulan Oktober,aku dilanda masalah yang berunsur peribadi.Entah bagaimana yang aku nak cakapkan,fikiran ketika itu umpama kertas yang sudah direnyukkan.Kusut.Serabut.Kadangkala aku terfikir,apa yang orang dengki sangat dengan aku?padahal aku ni tiada ada pun yang mahu dibanggakan.Rupa?Jauh panggang dari api.Harta?memang mati hidup semula lah jawabnya.Sebab itu aku hairan dan pelik.Dalam kekusutan yang melanda,sang gadis muncul memberi pertolongan.hehe.Wana,kawan baik aku mesej dekat facebook.Jadi ikutilah jalan cerita kami ye.yezza. 

9/11/2014

Oh,sebelum terlupa K.A.M.I yang dimaksudkan ialah aku,Wana,Diana dan Shahila.Bukan ke aku ada geng 6 orang?hehe.Ceritanya begini,si Iffah dan Fiza ada di Kedah jadi memang jadi kekanganlah kalau nak datang,sebab hari kejadian itu berlangsung hari Ahad.Sebenarnya hal perancangan semua ni dirancang oleh ketua pasukan si Diana.hehe.Akhirnya semua setuju dan berlakulah seperti yang telah dirancang.

Pagi itu,kami bertolak dalam pukul 10.00 a.m.Shahila datang ambil aku dan Wana.Sangat berterima kasih pada si kaki empat putihnya.Kalau tiada yang itu,alamatnya memang tak berjalanlah kami.Cuaca pagi itu sangat indah.Tidak panas dan tidak hujan.Seolah-olah mengerti kerinduan yang terbuku dihati kami untuk berjumpa.Walaupun masing-masing bekerja di kota raya yang serba sibuk,susah untuk berjumpa namun satu hari itu sudah cukup bermakna.Kronologinya dari pagi sehingga acara kemuncak dan berakhir dengan gembira.Biarkan gambar berbicara sendiri.





Shahila,Wana,aku dan Diana.
Dalam perjalanan menuju destinasi pertama.
jeng.jeng.jeng
^_^


Agaknya destinasi pertama kami di mana ?



penuhkan perut dulu,ye.
makan dan makan.
sangat sedap.
aku bagi 4 bintang sebab meatball aku tak makan.hehe


Tempat pertama mestilah kena isi perut dulu,nanti barulah senang hati nak berjalan.Kami pergi IKEA,Damansara untuk sarapan pagi.Lepas makan,minum dan ada tenaga untuk jalan-jalan cuci mata.Kami pun pusing-pusing la sekitar dalam IKEA dan terbeli la apa yang patut.Terbeli?maksudnya tak rancang nak beli disebabkan benda itu comel maka,si Diana terbeli lilin yang wangi perisa strawberry dan aku pun terbeli jam yang murah.hehe.Bukan pusing saja-saja tau,terselit juga adegan selfie-selfie gini almaklumlah nama pun K.A.M.I.Jalan-jalan tanpa gambar macam tak lengkap rasanya,amboi gitu.haha.



1,2,3 senyum =)




ok,tukar gaya.
eh,senyum ke tak ni.
hehe





sedia,snap.
Dian : ala aku gerak la pula.lain.lain.



cepat tengok sini.
senyum.




eh,mana Dian?
hilang?




K.A.M.I 
geng mak-mak nak beli perabut rumah.
haha.



Lepas penat pusing dalam tu kami pun beransur ke sebelah tempat pusat membeli belah The Curve.Cuci mata jer mana la tahu ada jualan murah ke.ada ke?Rehat sekejap snap,snap dulu dalam satu kedai sampai kena bagi amaran sebab kami dok snap gambar.Alah,jeles tak dapat bergambar sekali ke.hahaha.



sila jaga-jaga sebab banyak mata yang memerhati.
hahaha.



Disebabkan banyak berjalan maka kami penat dan kembali lapar.haha.Kami keluar dari situ dan telah pergi ke satu tempat.



menikmati rojak dan cendol.
memang sedap.



Kami menikmati di tempat yang memang popular dekat Kuala Selangor ini iaitu Cendol Bakar.Memang sedap.Makan rojak dan cendol.Lepas ja hilangkan haus tadi,maka kami pun teruskan perjalanan ke tempat yang utamanya iaitu Jeram.Wana bawa kami ke tempat yang dia boleh dikatakan selalu jugalah pergi.Tempat tu berhadapan dengan pantai.Memang syok suasana dekat situ.Wana cakap,makanan dekat situ memang sedap.Jadi aku,Shila dan Dian pun teringin nak cuba masakan yang dikatakan sedap tu.sedap ker?Jom kita tengok.



kami sudah sampai.
Jom tengok menu segar.


Sebelum datang ke situ,Wana sudah booking tempat.Yelah,buatnya ramai orang kang tak ada tempat pula almaklumlah hari Ahad kan.Jadi lepas sampai kami terus ke menu ikan,ketam,udang yang segar-segar.Jadi inilah menu utama kami pada malam itu.

Menu : 

-Ikan ayam bakar 
-Ikan pari bakar
-Ketam masak cili
-Udang dan sotong goreng tepung
-Tomyam
-Kailan ikan masin
-Air laici 1 jag 




menu tak penuh lagi ni.
ikan ayam bakar yang sedap gila




muka orang-orang yang tak sabar nak makan
masing-masing lapar.




dalam berapa minit sebelum makan
dua orang tu yang buat peace,tak sabar nak makan
wakakakka.




makanan sudah terhidang.
apa lagi.tutup fon,
dengan bacaan Bismillah,makan la.



Ikan ayam yang aku maksudkan di atas,bukan ikan dan ayam,tapi nama ikan itu "ikan ayam".Aku pun baru pertama kali dengar.Ikan dia besar dan sedap gila.Sampai ke hari ini masih teringat rasanya memang bukan rasa ikan.Kalau nak rasa betapa sedapnya,pergilah rasai sendiri.Memang terbaiklah.Selepas puas menikmati makanan kami pun mahu berangkat pulang ke tempat masing-masing.Kalau ada yang tanya pasal harga,dia timbang berat ikan tu per gram.Tak ingat pula aku berapa per gram.Jumlah makan dekat situ lebih kurang RM200++.Jangan terkejut ye sebab memang berbaloi sangat dengan masakan yang lazat dan lepas bayar kami pun bertolak balik.


Disebabkan masing-masing kenyang dan orang yang dibelakang aku dan Dian rasa macam nak lena maka Wana pun bukalah cerita,tak jadi kami nak lena.haha.Maka semua orang teman Shila yang memandu dalam kekenyangan.hehe.Perasaan memang tak boleh nak huraikan dengan kata-kata.Seronok sangat sebab keluar dengan kesayangan dari kecil sampailah dewasa kini.

p/s : Apa plan lepas ni pengurus pasukan cik Dian?Bercuti di Morib?PD?atau luar kawasan macam yang dirancang tu.hehe.Alhamdulillah,jodoh kita dipanjangkan sehingga sekarang,moga sampai bila-bila hingga akhir hayat.Amin.




Terima kasih sudi baca,jumpa lagi. :D 


Wednesday 29 October 2014

Roommate

Assalamualaikum...

Aku sedang layan lagu,konon nak ambil mood la kan nak study lewat malam satgi,hehe.Itu semua konon.haha,padahal tak sedar diri nak exam penting sabtu ni.Adik-adik jangan ikut contoh tak baik ye,nakal molek akak mu ni.ahaks.Siang bekerja malam belajar.Tepu lahai otak aku ni.Ok,buat teruk lagi.hoho :p. Berbalik pada tajuk di atas,aku ingat lagi masa dulu aku selalu impikan nak ada teman sebilik atau dalam bahasa Inggerisnya Roomate,yang sekepala,yang boleh kongsi masalah suka dan duka.Bukan aku nak cakap roomate aku dulu tak baik,tapi biasalah roomate aku dulu kan kelas hujung minggu je,hari biasa dorang dah bekerjaya.Jadi aku forever alone. -_-

Tapi sekarang,aku ada roommate.Sebelum aku dapat bilik,aku tumpang bilik kawan aku,Shikin.Puas aku ulang alik tanya dekat pejabat kolej pasal bilik kosong,padahal ada je bilik kosong dorang cakap tak da.sabar jelah.Biasalah nama pun manusia kan.Akhirnya aku dapat bilik juga,iaitu bilik bersama Shikin.hehe.Sebelum tu,aku tanya dia dulu manalah tahu dia tak bagi ke,nasiblah dia ok jer,kalau tak jadilah aku Kasim Selamat.hahaha.

Perasaan ada roommate ni lain macam sikit tau,tapi bagi aku jelah.Shikin ni aku kenal dia masa degree lagi.Aku pernah pergi rumah dia masa cuti dan masa Hari Raya Korban.Alhamdulillah keluarga dia baik dengan aku.Dulu aku fikir nak lakukan aktiviti bersama pabila ada roommate.Cemburu tengok kawan-kawan aku habiskan masa hujung minggu bersama roommate.Jadi aku telah senaraikan aktiviti yang boleh dilakukan bersama.

Jadual harian : 

Pagi : buka tingkap (wajib) dan sapu sampah
Petang : rehat
Malam : berborak,kongsi masalah dan tidur

Hujung minggu :

Pagi : kemas bilik,contoh: mop,cuci kipas dan basuh baju
Tengahari : masak bersama dan makan 
Petang : lipat kain 
Malam : makan,berborak dan tidur

Oh,roommate.Adakah aku membosankan?haha.

Daripada Ibnu Abbas,Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "sesiapa menutup keburukan saudaranya,maka Allah akan menutup keburukannya di akhirat." (Riwayat Ibn Majah).Jadi jelaslah di sini kita janganlah buka aib orang,jika tak mahu orang perlakukan sedemikian rupa pada diri kita.Perihal dalam bilik jangan pula dicanangkan pada orang,macam hal rumah tangga.Hak peribadi tak perlu rasanya nak kongsi.Setuju atau tidak?

Dulu aku suka ada ramai kawan.Tak salah rasanya janji pandai jaga diri.Tapi sejak umur aku makin meningkat rasanya cukuplah aku sekadar punyai sahabat dan teman sedia ada yang mengambil berat tentang aku.Prinsip aku kesetiaan.Aku setia seperti kasihnya seorang sahabat.Biar orang buat aku,janji jangan balas balik.Biar orang mengata,masam muka.Janji kita balasnya dengan senyuman yang paling manis.Dendam bukan jalan penyelesaian yang terbaik.Memaafkan setiap insan akan membuatkan hati kita menjadi tenang.Kalau tak percaya cubalah buat.


Teman sebilik : 



Hai.
Ni roommate aku,Shikin.
Dia orang Johor aku orang Kedah.
Ayam itik bertemu,utara dan selatan.
Namun tetap satu bilik.

Harap
 kita dapat jadi teman sebilik sampai habis.
Kalau dia pindah,aku jadi forever alone.
Bertolak ansur dan saling mempercayai sangat penting.
seperti aur dan tebing.gitu.hehe.

Moga
kita dapat habiskan thesis dengan jayanya.
Kemudian kita grad dengan lancarnya.
Lepas tu terpampar dalam dada akhbar
"pasangan roommate grad bersama"
haha,itu merapu lebih.

Tuhan
berikan kami kesihatan yang baik,
berikan kami idea yang bernas,
kuatkan semangat kami.
juga jaga hati kami.
hanya padaMu.
kami meminta.



Nota : Menghargai yang ada,bukan meratapi yang tiada.



Terima kasih sudi baca,jumpa lagi. :D 

Thursday 23 October 2014

Mari Menabung

Assalamualaikum...

Sejak akhir-akhir ini aku sibuk sangat,cari bahan untuk thesis,baca jurnal,buat assgment,semak assgment budak-budak degree ; kelas Bahasa Melayu Tinggi sebanyak 86 orang bermakna aku kena semak 86 assgment yang mana terdapat sesetengah pelajar yang tulis tangan bukannya taip komputer.Maksudnya aku kena hadap baca esei tulisan yang macam-macam bentuk.Ada yang bentuk cacing kerawit,ada yang kecil sangat tulisan sampai aku terpaksa baca sampai 2 3 kali.Ini boleh mendatangkan kemarahan tau.Pabila fikir balik,oh macam ni rupanya perasaan cikgu aku dulu semasa semak kertas peperiksaan kami.haha,tambah-tambah tulisan aku yang kecil besar kecil besar.Aku bukan mengeluh tapi sekadar luah perasaan je,hehe.Buat apa nak mengeluh sebab jalan ini yang aku pilih kan.Tapi aku bukan nak cerita pasal kerja aku,tapi nak cerita pasal duit,duit dan duit.wah,sila buka mata anda besar-besar.

Aku memang ada pasang niat dulu,kalau sudah kerja nanti aku nak simpan duit banyak-banyak,biar berkepuk duit dalam bank.wah gitu perasaan aku.Tahu tak sebab apa?sebab masa aku dapat biasiswa masa belajar dulu tak da pula aku pasang niat simpan duit.Ini mesti nafsu remaja yang menguasi diri aku.Awal semester kan duit masuk memang banyak tapi aku langsung tak ambil peduli nak simpan duit dalam bank yang khas dan tak boleh bawa keluar.Kira senang macam ni,kau simpan duit tu tapi tak boleh ambil,tak ada kad Atm.Maksudnya kena simpan je la kan.Walaupun aku ada bank simpanan peribadi tapi tetap boleh bawa keluar sebab ada kad Atm,macam manalah duit aku nak berkembang kan.Namun,dewasa kini aku tersedar akan kepentingan simpanan untuk hari tua,iaitu simpanan di ASB.

Rasanya ramai yang sudah tahu mengenai ASB ni,aku je yang ketinggalan.Untuk makluman semua,simpanan ASB ni bagus untuk masa hadapan kita.Yang paling aku suka sangat ialah simpanan dekat ASB ni tiada kad Atm.Jadi pabila kita simpan duit,secara automatiknya duit kita selamat dan akan berkembang dengan banyak.Berkembang dengan banyak maksudnya di sini,kita akan kerap simpan duit setiap bulan dengan menggunakan buku sahaja.Kalau kita simpan duit yang mana bank tersebut ada keluarkan kad Atm,maka keberangkalian kita akan keluarkan juga duit tersebut dek desakan hawa nafsu.

Jadi dengan ASB,kita akan disiplinkan diri untuk menyimpan duit setiap bulan.Tak kisahlah berapa pun,sedikit atau banyak kita mahu simpan asalkan simpanan kita itu konsisten.Setiap bulan pabila sudah gaji,terus ambil berapa kita mahu simpan dan terus masukkan dalam ASB.Simpan duit ni bukan lebihan duit yang kita guna,tapi tetapkan jumlah yang kita mahu simpan itu daripada gaji.Itu barulah dinamakan simpanan masa depan yang terjamin.hehe.Eh,terlupa nak cakap,aku bukannya nak promosi ke apa tapi cuma nak kongsi dengan kawan-kawan dan adik-adik di luar sana bahawa duit simpanan ini sangat penting untuk pelajaran dan juga masa hadapan kelak.Kawan aku dah mula simpan daripada lepas Spm lagi sampai sekarang,tengok mesti sudah banyak kan simpanan dia.Aku ni baru nak mula simpan,tak apalah bak kata pepatah "sikit-sikit lama-lama jadi bukit".hehe.

Aku nak kongsikan sedikit maklumat yang diambil daripada Utusan Malaysia (Khamis 16.10.2014) iaitu :

5 Tip Kawal Kewangan Tinggi 


  • Kurangkan Makan Di Luar
       Kos belanja makan di luar terutama di kawasan Kuala Lumpur adalah amat tinggi sehingga 3 kali kos penyediaan makan sendiri di rumah.Jadi dinasihatkan makan dahulu di rumah sebelum keluar atau bawa bekal ke tempat kerja.

  • Catat Perbelanjaan 

      Catat perbelanjaan harian,berapa duit masuk dan berapa duit keluar.Kaedah ini boleh memberi maklumat untuk mengawal perbelanjaan dan mengelak daripada pembaziran.


  • Menyimpan

      Elak simpan duit lebihan wang yang digunakan kerana kita meletakkan simpanan itu berada di keutamaan yang paling belakang.Jadi caranya apabila dapat gaji,tetapkan 10% sebagai simpanan.Orang Jepun menyimpan 20% daripada pendapatan.Walaupun sedikit kita simpan tetapi berterusan adalah lebih baik daripada banyak tetapi kadang-kadang.


  • Jaga Harta Benda

      Sentiasa menjaga dengan baik setiap barang yang dimiliki seperti kenderaan,komputer riba dan telefon bimbit.Jika tidak dijaga kemungkinan kita akan menyusutkan simpanan,sebagai contoh penyelenggaraan kenderaan.


  • Kurangkan Penggunaan Kad Kredit
      Penggunaan kad kredit menyebabkan kita akan berbelanja tanpa had dan berlebihan.Walaupun kita fikir mampu bayar setiap bulan,jika diteliti dengan lebih mendalam,kita telah menyebabkan pendapatan kita hanya untuk membayar hutang sahaja.


*********************************************



Aku sudah ada simpanan ASB,
anda bila lagi?hehe 



Aku mula ada simpanan peribadi selepas aku lahir.
Kawan aku, Ana dan Ija selalu cakap,
"hang ni sikit-sikit tak da duit,tak da terus baru tau".
Walaupun dua orang ni kerap merepek,
tapi tetap belanja aku juga.hehe.
Aku bukan kedekut tapi jimat je.haha

Alhamdulillah.
Aku daftar masuk belajar masa dulu dan sekarang 
guna duit sendiri.
Malu tau minta dekat mak ayah kita,
baik kita usahakan sendiri kan.

Nampak tak adik-adik?
Menabung ini 
untuk kegunaan jangka masa yang panjang.
Banyak faedah menabung ni,
daripada kita beli gadget,
baik kita menabung untuk pelajaran,dan masa hadapan.

Jadi bagi sesiapa masih belum ada simpanan tu,silalah buat ye.
Tak rugi pun,semuanya itu untuk diri sendiri juga.
Mari kita menabung!


Tips menabung aku : disiplinkan diri.



p/s : Itu sahaja yang dapat aku kongsi untuk pembaca sekalian.Moga tips yang diberi dapat dimanfaatkan walaupun sedikit.Mulakan setiap hari paling kurang RM1. 




Terima kasih sudi baca,jumpa lagi. :D






Monday 13 October 2014

Rumah Masa Depan

Assalamualaikum... 

"Apa maksud bahagia pada pandangan kamu ?"

" Ketenangan.Apabila dalam diri saya tenang maka dengan sendirinya bahagia itu terasa."


Kejadian itu berlaku di dalam kelas,pada waktu pagi di mana sang suria masih lagi segan mahu menyinar.Aku mengambil tempat di hadapan walaupun lambat enam puluh minit daripada masa dalam jadual.Ini semua salah bas,eh bukan,ini semua salah pemandu bas yang lambat gara-gara menunggu pelajar penuh di dalam bas baru mahu bergerak.Jika tidak, aku tidak akan lambat untuk ke kelas.Bentak hatiku.Aku salahkan orang lain demi menutup kesalahan sendiri.Siapa yang suruh tidak kunci jam? Siapa yang suruh bersiap lama di depan cermin? Jadi salah siapa dalam hal ini? Angkat tangan tinggi dan tampar pipi.Sakit?Ha,itu makanan dia.

Sewaktu pensyarah menanyakan soalan itu pada pelajar lain,jawapan itu yang bermain dalam fikiran aku.Ketenangan.Kalau aku sakit,aku tak akan tenang jadi secara automatiknya aku tidak akan rasa bahagia.Kalau aku ada masalah,aku juga tak akan tenang.Dimana harus cari bahagia jika hati tidak tenang? Setuju atau tidak? Apa pandangan korang pula?

Setiap orang berhak untuk mengecapi kebahagiaan.Memiliki sebuah keluarga yang kecil adalah impian setiap insan.Sepasang suami isteri,dikurniakan cahaya mata,sudah cukup menggambarkan kebahagiaan insan-insan terpilih.Namun jauh di sudut hati insan kerdil ini sering menjadi persoalan,siapa? dan bila? atau mungkin ianya hanya angan-angan di bawa awan.Dalam rakus membina kerjaya,diulit mimpi kebahagiaan semalam, kadang kita leka bahawa terdapat satu yang lebih penting dalam meniti kebahagiaan iaitu rumah masa depan.Apa yang boleh kita perkatakan mengenai rumah?

Rumah dihiasi gelak tawa ahli keluarga.Makan,minum,bergurau senda sesama yang lain.Menangis,dipujuk dan memujuk.Itu semua yang berlaku di dalam rumah."rumahku,syurgaku".Kita yang mencorakkan kehidupan dalam rumah,kita yang melakar kecerian dan menghidupkan suasana.Namun ada satu rumah yang penghuninya hanya satu,tiada cahaya,tiada gelak ketawa,tiada ahli keluarga iaitu rumah masa depan.Kalau tuan orang yang bijak,apa yang dimaksudkan dengan rumah masa depan? Cepat jawab.

Ya,kubur.Itulah rumah pertama kita selepas rumah persinggahan kedua kita iaitu di dunia.Kubur merupakan rumah yang kekal abadi di akhirat sana.Setiap insan di muka bumi ini hidupnya berpesan-pesan.Ingat mati hukumnya sunat (diambil daripada web JAKIM).Walaupun ianya suatu yang kecil,berpesan-pesan tapi biarlah ia memanfaatkan kepada khalayak yang lain.Kebaikan untuk semua,juga untuk saham di akhirat.Mengingati kematian merupakan salah satu galakan daripada Rasulullah s.a.w.Ia bukanlah untuk melemahkan semangat,malah menguatkan lagi semangat untuk hidup,menuntut ilmu,membina kerjaya dan juga akan membuatkan kita lebih menghargai hidup.

Sebagai contoh,pabila bangun pagi kita bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menghirup udara,melakukan aktiviti harian,serta sempat lagi menambah pahala untuk saham di sana.Tidakkah kita rasa bersyukur kerana diberi masa untuk bertaubat.Dalam riwayat al-Tarmizi,Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "perbanyakkanlah mengingat penghancur semua kelazatan,iaitu maut".

Sebelum mengakhiri bingkisan ini,ingin aku kongsikan sedikit mutiara kata dari sumber blog mukmin profesional,Ustaz Pahrol Mohd Juoi sebagai renungan bersama.



Andai perjuangan ini mudah,
pasti ramai menyertainya.
Andai perjuangan ini menjanjikan kesenangan,
pasti ramai yang tertarik padanya.
Tapi hakikat perjuangan bukan begitu,
turun naiknya,sakit pedihnya.
Umpama kemanisan yang tidak terhingga.
Andai rebah bangkitlah semula.
Andai terluka ingatlah janjinya.


************************************************




Mat


Ini kucing aku merangkap adik.
Nama dia adik mat,Mat Munah.
Bila aku buat kerja,dia sibuk kacau.
Bila aku balik kampung,
dia sambut aku depan pintu.
Bila aku beli barang,
dia sibuk nak tengok aku beli apa untuk dia.


Dulu aku tak suka kucing,tapi
kehadiran dia menjadikan
 aku manusia penyayang pada binatang.
Jika diberi pilihan antara tempat yang aku ingin lawati
aku pilih zoo.
Di sana buat aku tenang.
Dengan binatang akan pupuk 
sifat kita sebagai manusia.
Adik Mat sudah tiada lagi di dunia.
Dia telah kembali kepada
Maha Pencipta.


Kata orang,
haiwan juga ada tempatnya di syurga sana?
Tunggu kaklong lepas ni.
Kita jumpa di sana.





Terima kasih sudi baca,jumpa lagi. :D













Thursday 25 September 2014

Saya Hanya Ada Seorang Emak

Assalamualaikum...

Minggu lepas hari bahagia kawan baik aku,Ana.Tahniah Ana dan pasangan.Nanti ada masa aku buat entri pasal majlis perkahwinan dia.Aku cuti seminggu dekat kampung.Aku suka duduk dekat kampung,biasalah aku pun asalnya dari kampung juga.Sudah terbiasa dengan masakan kampung,cara hidup kampung dan paling syok dekat rumah aku ada pelbagai buah-buahan tempatan antaranya manggis,langsat,rambutan,dokong dan durian.Wah!bukan dekat kebun ye,tapi dekat keliling rumah aku je,tengok betapa nikmatnya,bangun pagi gosok-gosok mata sudah boleh petik-petik gitu je.jemputlah datang rumah.

Aku ada seorang emak yang rajin.Suka jaga pokok bunga.Bunga sentiasa mekar mewangi di halaman rumah.Pagi itu bunga tidak kembang mekar seperti hari biasa seakan mengerti apa yang akan terjadi.Cuaca mendung,tiada kicauan unggas dan seperti saat itu terhenti seketika.Emak meraung kesakitan.Aku berdiri kaku lalu mencapai telefon untuk menelefon abah di rumah kenduri.Abah bergegas balik dan terus membawa emak ke hospital.Kejadian itu berlaku sepantas kilat.Aku terduduk.Berdoa agar emak selamat.

Emak dimasukkan ke wad kecemasan.Pada waktu itu aku hanya berharap Tuhan gantikan penderitaan emak kepada aku.Aku tak pernah melihat emak menangis menahan sakit sebegitu.Selama ini emak kuat.Semua kerja rumah emak buat,dari mengemas,membasuh,memasak dan juga bekerja menyara kami adik-beradik.Lama emak di dalam wad kecemasan sementara menunggu keputusan darah keluar.Akhirnya emak terpaksa dimasukkan di dalam wad Melor 3 untuk tambah air dan darah.

Aku teman emak tidur malam itu.Tidur sebantal,satu selimut dengan emak.Aku lihat wajahnya yang tenang,yang sentiasa positif tanpa memikirkan kata-kata orang terhadapnya.Emak hebat.Bukan macam aku yang cepat melenting pabila dicuit,jauh sekali punya sifat keibuan.Nyenyak sekali emak tidur malam itu,terus fikiranku melayang bagaimana emak menjaga aku sebaik aku dilahirkan sehingga dirinya tidak terjaga makan,minum hanya untuk aku membesar dengan sihat.Malam itu merupakan malam yang panjang untuk aku.Seperti malam yang tiada siangnya.Benar kata orang,seorang ibu sanggup menjaga sepuluh orang anak,namun belum tentu sepuluh orang anak boleh menjaga seorang ibu.

Ramai persoalkan kenapa aku sanggup lepaskan peluang kerja?
Ramai persoalkan kenapa aku lepaskan kemasukan Februari?
Ramai persoalkan kenapa itu dan ini.
Namun aku punya satu jawapan sahaja.

"Saya hanya ada seorang emak."

Ya,aku hanya ada seorang emak.Emak yang mengandungkan aku selama 9bulan.Emak yang melahirkan aku.Emak yang menyusukan aku.Emak yang membesarkan aku sehingga aku pandai berdiri.Aku tidak punya jawapan lain.Seorang emak boleh ketepikan perasaan dia hanya untuk anak-anak,bagaimana pula seorang anak tidak dapat berbuat demikian.Aku tak sanggup tinggalkan emak yang sedang sakit demi mengejar cita-cita.Aku bukanlah anak yang baik,yang solehah untuk emak tapi aku berusaha untuk menjadi anak solehah yang berjaya untuk emak dan keluarga.

Buat kawan-kawan dan sahabat handai,jika kita punya emak,ibu,mama,ummi hargailah jasa pengorbanan mereka.Elakkan diri menggunakan bahasa yang kasar yang sampai mengguris hati mereka walau hanya berkata 'ah'.Ingatlah syurga itu dibawah telapak kaki ibu.Sedekahkan al-fatihah kepada yang telah tiada.

p/s : Takziah buat sahabatku ( Wana,Kirah,Shikin,Ana) yang kehilangan ayah dan juga ibu pada bulan Mei dan Jun baru-baru ini.Doakan mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.


Rasullullah s.a.w.bersabda : "Apabila telah mati anak Adam itu maka terputuslah semua amal ibadatnya kecuali 3 perkara iaitu :


  1. Sedekah Jariah.
  2. Ilmu yang berguna dan dimanfaatkan oleh pengamalnya.
  3. Anak yang soleh/solehah yang mendoakan kedua ibu bapanya.





Ini emak aku.

Emak pesan : 
Rajin belajar dan bekerja.
    Kumpul duit untuk masa depan.
  Jaga diri,adik-adik dan keluarga.

Harapan kak long : 
Nak lihat emak sihat,senyum.
Hidup bersama kaklong,abah dan adik-adik.
Tunggu kak long beli rumah.
Tunggu kak long beli kereta.
Kak long buat semua hanya untuk 
emak,abah dan adik-adik.
Kak long sayang mak! 





Terima kasih sudi baca,jumpa lagi. :D





















Thursday 11 September 2014

Jangok

Assalamualaikum...

Aku tengah layan Suriafm biasalah waktu macam sekarang banyak lagu jiwang jiwa berkumandang.Sudah semestinya aku tak boleh lepaskan peluang sambil menulis sambil feeling,konon ambil feel.ahakss.Aku nak cerita pasal peristiwa 4 tahun lepas cepat je masa berlalu saja lah malam-malam ni rasa nak mengimbau kenangan lalu kan.hehehe.Kisah ni masa aku nak pergi interview dekat Usm Pulau Pinang.Kalau korang nak tahu perangai aku ni kan,aku kalau suka sesuatu atau excited nak pergi sesuatu tempat tu aku akan kemas barang atau iron baju siap-siap sebulan atau paling kurang seminggu sebelum hari kejadian.hahaha.Nampak tak betapa gigihnya aku tau.Tapi interview ni aku iron baju pagi sebelum berangkat,nampak sangat tak nak pergi kan.Abah aku paksa.huwawa. T_T 

Nama pun nak pergi interview sudah semestinya kena pakai kemas,baju kurung,kasut bertutup kan.Masa ni aku berumur 20tahun baru lepas Stpm tak terdedah lagi dengan fesyen semasa,tudung pun pakai tudung bawal jer tak da lilit lagi.haha.Lepas daftar,kena isi borang lepas tu tunggu number kena panggil nak interview kan.Oh,ya ni interview nak masuk Usm bukan kerja ye.hehe.Lepas siap semua aku duduk dekat tempat menunggu sebab keluarga aku tak boleh masuk,semua ahli keluarga kena tunggu dekat dewan kalau tak silap aku lah.Dalam aku duduk sorang-sorang, tiba-tiba ada satu lembaga muncul di hadapan aku,jeng-jeng...

"Hai cik adik,awak dari mana?"

"Saya dari Kedah.(almaklumlah semua negeri datang interview kang aku cakap nama daerah kot tak tahu pula)."

"Kedah kan luas,tinggal mana?"

"Oh! saya dari Baling."

"Baling,Kedah rupanya patutlah jangok.Hang tau dak apa tu jangok?Hang lahir kat mana?Kalau tak tau balik tanya orang tua na".

Aku pun senyum je tak cakap apa.Tapi dalam hati ka geram betul pakcik ni main perli-perli aku.Sumpah,aku tak tahu langsung apa maksuk jangok masa ni.Otak blur-blur je memang dok rasa pakcik ni kata aku orang Baling kot sebab tu dia perli-perli aku.Yela kan aku pernah cakap dalam entri Dialek Baling Kuno (Klik SINI ).Lepas tu mak angkat aku datang bersama keluarga,dia orang Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan pada masa yang sama pakcik tadi tu hampiri kami dan sembang-sembang.Aku pun cakap dalam hati,"amboi pakcik ni,mentang orang besar layan elok jer,aku kan orang kecil cakap perli-perli".Masa dorang tengah cakap tu,sambil gelak-gelak pastu tengok aku,lagi lah aku macam erghh!geram betul dekat pakcik tu.

Sampailah balik ke rumah aku tak tahu apa maksud jangok tu.Oh!ya baru aku tahu pakcik yang aku cakap tu tadi sebenarnya Pensyarah situ,dia kenal sangat dengan anak mak angkat aku sebab akak tu sambung PhD dekat situ juga.Malu gila aku.hahaha.nasib la aku tak cakap lebih kurang je kan.hehehe.Tapi aku masih tak suka dan geram sebab dia perli aku.wachaaaa!Kalau kita tak suka mesti dapat kan.Ha,aku dapat tawaran dekat Usm tu disebabkan aku geram pasal kejadian hari tu aku tak nak masuk dan belajar sana.Ntah apa-apa je kan aku masa tu.

Sudah setahun berlalu baru aku tahu apa maksudnya.Kes dia macam ni.Aku sedang bersiap nak keluar Mines masa ni tahun pertama sebagai pelajar Upm.Dalam masa aku dok bersiap tu,kawan aku Shikin dia budak Kelantan tegur,

"jangok-jangok ni nak pergi mana ziela?"

"apa?jangok?"

"yela,pakai jangok sangat ni nak pergi dating ye?"

Korang tahu tak apa itu maksud jangok?Lepas Shikin cakap maksud dia baru aku faham rupanya.Gelak guling-guling aku.hahaha.Ni aku ambil dekat kamus daerah negeri Kelantan.

Jangok = melawa,berhias,pakai cantik,makeup



Moral of Story : 

Jangan serkap jarang dan salah faham.Jangan menghukum orang tanpa selidik terlebih dahulu.Berdasarkan pengalaman aku tadi tak pasal-pasal je aku cakap bukan-bukan pasal pensyarah tu padahal dia tak cakap perli pun dengan aku.Sebab itulah orang cakap,nak masuk rumah orang kena bagi salam terlebih dahulu dan jangan serbu tak pakai helmet.hehe.





Terima kasih sudi baca,jumpa lagi. :D 
















Tuesday 9 September 2014

Perlumbaan

Assalamualaikum...

Awak rindu saya tak?huhahaha macam geli geleman la pula,korang rindu aku tak ? ha baru betul sikit.hehehe.Dekat 2 bulan lebih juga aku tak update entri, disebabkan rindu dekat blog aku gagahkan diri dari sifat malas yang melampau ni.Dekat 10minit aku dok fikir tajuk entri kali ni,nak letak tajuk Bi konon nak stail la sangat tapi isinya dalam Bm,errghh baru nak fikir tajuk pun dah tension.hahaha.apalah masalah otak aku ni.Terus kepada isinya aku nak cakap mengenai kejadian 4.9.2014.

4.9.2014
Tarikh Perlumbaan 

Aku suka merancang,tak kisah lah rancang apa pun,mesti kena rancang kalau tak macam tak menjadi je kerja kita kan.Tapi harus diingat sebaik mana pun perancangan kita jika Dia Yang Maha Esa tak izinkan maka tak akan jadi benda tersebut.Kadang aku terlupa setiap perkara ada sebab musabab ia terjadi.Puas aku menangis mengenang nasib diri tapi bila difikirkan balik,oh baru aku tersedar dari lamunan yang panjang.Terima kasih yang tak terhingga kepada hamba Allah yang tolong aku,rasa sedih,terharu macam tak percaya ada orang sebaik dia pada zaman sekarang ni. (nama dirahsiakan oleh faktor keselamatan) haha takut paparazi ada di kawasan ni.

Perjalanan aku masih jauh lagi,sebab ia baru bermula.Diibaratkan satu perlumbaan yang mana aku baru nak start enjin orang lain dah jauh tinggalkan aku dalam litar perlumbaan itu.Disebabkan aku ditinggal kesorangan aku terpaksa berani membawa diri,ikut jalan yang telah dipilih.Moga aku diberi kekuatan untuk menempuh liku-liku perjalanan yang panjang ini.

Kita cuba,kita tahu.
Kita buat,kita rasa.
Kita jatuh,kita bangun.
Kita perit,kita senyum.

Walau apa sekalipun kita lelah dengan kehidupan,percayalah dihujungnya nanti akan rasai kenikmatan.

p/s : Doakan aku ye teman-teman. 




Terima kasih sudi baca,jumpa lagi. :D





Saturday 7 June 2014

Detik Bahagia

Assalamualaikum...

Kalau mengimbau kenangan lalu 15 tahun lepas boleh bayangkan tak kita masih pakai baju sekolah,beratur ambil makanan dekat kantin,gaduh dengan kawan sebab curi pensel,gaduh dengan kawan sebab selalu bising dalam kelas,kena denda dekat perhimpunan sebab datang lambat dan macam-macam lagi.Wah!rindunya zaman sekolah rendah.Zaman yang tiada masalah,datang sekolah sebab nak jumpa kawan-kawan,kongsi cerita sambil gelak ketawa.Ha,itulah zaman aku bersama geng 6 Jahanam.Apa?jangan buat muka sangatlah,cikgu kami yang bagi nama kumpulan tu.Eh,eh bukan aku nak cerita pasal zaman dulu,tapi nak cerita mengenai salah seorang dari sahabat aku,sudah disunting kumbang.hehe

Nak tahu tak siapa orangnya?Aku lah!hahaha




kami 6 Jahanam,di majlis kawen Asmaliza kawan sek,rendah


Kalau lihat gambar di atas,agak-agak siapa yang disunting tu?sebab majlis tu sama dengan majlis kawen kawan kami.1/6/2014 tarikh bahagia sahabat 6 Jahanam.jeng.jeng.jeng.#bunyi drum.



aku bagi clue,ifah tak dapat datang majlis majlis sebab 
tak dapat cuti,tinggal lagi 5,hehe 

Kalau tengok muka masing-masing semangat,tapi ada sorang ja yang berseri,budak yang buat peace tu kot.hehe.Eh,tapi yang buat peace ada dua orang siapa agaknya ye?#bunyi drum lagi.dum.dum.dum



kan dah cakap,dua orang ni asyik buat peace,siapa yea?gembira terlebih 
dua orang ni tau. #shila dan ija 


Kami kalau sudah jumpa memang macam-macam cerita.Yang gembira semua dah berjaya dengan kerjaya masing-masing dan ada budak tu kan sudah keluar kereta baru,aumm bau kedai,hehe.Selain cakap pasal hidup,kami juga kaki selfie,haha fenomena yang melanda rakyat Malaysia sekarang ni.Meh la tengok gambar yea.


'
'
'
'
'
'


Tiada yang lebih bermakna berkongsi detik bahagia selain bersama sahabat sejati.Ya,kami bersahabat dari tadika sampai sekarang masing-masing 24tahun.Alhamdulillah kita masih bersama berkongsi suka dan duka.Jika salah seorang merasa sedih,yang lain turut merasainya.Itulah yang dapat digambarkan melalui persahabatan kami.Ya Tuhan,kukuhkan hati kami untuk bersama hingga ke akhir hanyat.Eh,dah dapat teka ke belum ni?ha inilah dia tuan empunya badan yang telah disunting.




Alhamdulilah,secara rasmi sudah disunting orang.
#bunga merah dikelilingi dayang-dayang,
#tak sabar nak pakai baju dayang nati,wakaka


p/s : Alhamdulilah,one step closer.Aku doakan moga semuanya berjalan dengan lancar.Tak lama dah nak jadi isteri orang,sedih tau kami masa sarung cincin tu.Lepas ni tak boleh dah nak gedik santai cara kita selalu tu.hehe.Aku bagi pihak dayang-dayang bersyukur sebab sponsor baju kami,gila tak syok.wakakaka.Aku sayang mu Wana,insyaAllah dipermudahkan semua.


Terima kasih sudi baca,jumpa lagi. :D

Thursday 5 June 2014

Sakit Penghapus Dosa

Assalamualaikum...

Tanggal 28/5/2014 bersamaan hari Rabu tepat jam 8.30malam tangan aku ditakdirkan kena air panas.Sakit jangan tanyalah,sakit sangat sampai boleh menitiskan air mata,wah gitu punya drama queen aku ni.Bukan salah siapa pun,salah diri sendiri sebab cuai sangat.Kes dia macam ni,dalam sebelum magrib aku rebus jagung dan aku terlupa dah tu apa lagi bergegas ke dapur sebab dah bau wangi-wangi kan.Aku pun dengan lemah gemalainya angkat periuk yang tengah panas,tak tahu macam mana air rebusan jagung dalam periuk tu terlepas dari tangan aku dan terkena tangan aku.Masa kena tu jangan cakap la pedih sangat sampai aku blur tak tahu nak buat apa.Disebabkan pedih sangat aku basuhkan tangan dalam aliran air paip.Bagi tangan aku sejuk lama juga la,tapi bila angkat rasa pedih sangat sampai jadi bengkak tau.

Aku tak tahu nak buat apa,akhirnya ada idea nak post dekat facebook mana la tahu ada kawan-kawan yang arif pasal ni.Alhamdulillah terima kasih pada semua kawan yang tolong aku bagi tahu apa yang nak letak dekat tangan melecur ni.Ada yang cakap letak kicap,minyak moto,susu,colgate,dan lain lagi.Aku hargai sangat tau sebab aku memang kosong terus bab ni,otak jadi buntu.Kawan aku si Husna suruh aku baca doa Nabi Ibrahim dan tiup pada bahagian melecur.Ye,aku buat syukur kurang pedihnya.Husna cakap kalau kena api atau air panas baca doa ni sebab Allah turunkan pada Nabi Ibrahim ketika dirinya dibakar.Mari sini aku kongsikan doa ni : 




google image : Doa Nabi Ibrahim


Sudah seminggu tangan aku berbalut,dan hari rabu baru ni dah buka dan boleh makan guna tangan.hehe.over tau sampai seminggu.Tangan aku sudah kering,cuma merah masih ada lagi dan tak sakit dah.hehe.Oh,ya aku sapu krim yang dibeli dekat farmasi,cepat sikit dia kering tempat melecur ni.Ni gambar krim tu boleh beli dekat farmasi ja : 



google image : guna utk melecur,api,gatal2,ruam 


Pertama kali dalam hidup aku kena air panas ni,kira sakit paling sakit dalam dunia.haha.Padahal kalau orang tua dulu cakap,dekat tangan ja jauh dari perut.hehe.Aku masih ingat lagi Ustaz Wahab cakap ada 3 sakit yang paling sakit di dunia,iaitu yang berada dalam carta no 3,2 1 : 

  • sakit no 3 jatuh kepada sakit gigi - kalau kita sakit gigi,dengar orang cakap pun rasa macam nak penampar je kan.
  • sakit no 2 jatuh kepada sakit ketika beranak - memang sakit tapi aku tak pernah alami lagi hehe,belum kawen.:p
  • sakit no 1 jatuh kepada sakit hendak mati - semua akan alaminya,cuma amalan membezakan kita.Nabi kita tiada dosa pun sakit apatah kita manusia yang pendosa ni.

Bila sakit,rasa macam balasan dosa yang kita pernah lakukan.Aku berdosa dengan tangan sebab tu kena air panas.Mana la tau masa nak bagi makan kucing,tak ikhlas asyik bebel je dekat makcik Mer.Biasalah manusia mana tak pernah lakukan kesalahan.Anggap itu suatu ujian dariNya supaya lepas ni buat kerja dengan hati-hati jangan asyik nak berangan je.hehe




Terima kasih keluarga dan kawan-kawan yang sudi ambil berat atas diri ini.Rasa terharu sangat,ingat tak da orang sayang kita.hee



Terima kasih sudi baca,jumpa lagi. :D





Friday 9 May 2014

Doa Dhuha

Assalamualaikum...

Waktu afdal untuk melakukan solat sunat Dhuha adalah ketika sinar matahari kian panas.Berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam,Rasulullah s.a.w menjelaskan : 


" Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi 
dan kian panas sinarnya."

Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pada 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.(Kitab al-Majmu' karangan Imam Nawawi).

Doa Dhuha versi rumi 

Ya Allah
sesungguhnya waktu dhuha itu dhuhaMu
kecantikannya,kecantikanMu
keindahannya,keindahanMu
kekuatannya,kekuatanMu
kekuasaannya,kekuasaanMu
perlindungannya,perlindunganMu.

Ya Allah
jika rezeki masih di langit turunkanlah
jika di bumi keluarkanlah
jika sukar permudahkanlah
jika haram sucikanlah
jika jauh dekatkanlah.

Berkat waktu Dhuha
kecantikanMu
keindahanMu
kekuatanMu
kekuasaanMu
limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah 
limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.


Nota : Rezeki yang halal dan berkat bukan sahaja dapat membawa manusia menuju ketenteraman hati,malah dapat membawa kemuliaan di sisi Allah.InsyaAllah.



p/s : Salam Jumaat buat semua.Hari ini pelajar Uitm semak result exam,tahniah adikku si Sleeping Ugly lulus dan boleh sambung ke semester dua.Semalaman dia tak tidur risau punya pasal.haha 

kredit :

  • ibu berbicara
  • pesanan emak
  • surah dari abgcik


Terima kasih sudi baca,jumpa lagi. :D

Tuesday 6 May 2014

Dialek Baling Kuno ?

Assalamualaikum...

Menulis memerlukan idea dan fakta yang menyokong bagi perkukuhkan lagi penyataan sesuatu penulisan.Kebanyakan penulis profesional menulis pada waktu malam dan pagi.Tapi bagi penulis macam aku ni menulis tak ikut waktu,yang membatasnya antara rajin dan malas jer.hehe.Entri kali ini aku nak kongsi sikit pada anda semua mengenai Dialek Baling yang dikatakan kuno.Betul atau tidak?mari sama-sama kita rungkaikan misteri ini.jeng.jeng.jeng...

Dahulu masa sekolah kalau kawan tanya "hang dok mana ?" "aku dok dekat Baling", "dekat Baling ada Tesco dak ?haha".Amboi kalau cakap budak Baling nampak lekeh ja,nampak macam dok dalam hutan tanpa kemudahan elektrik dan air.Bila cakap sikit orang pasti hairan "hang cakap bahasa hulu mana ?".Tapi semuanya berubah dan tersedar bahawa dialek itu sebenarnya unik.Jadi bagi mertabatkan dialek tempat kelahiran aku,maka dengan secara rasminya aku ambil keputusan nak buat kajian mengenai dialek.Maka terhasillah thesis aku Dialek Hulu dan Hilir dalam Kalangan Masyarakat di Daerah Baling.

Berdasarkan sejarah, Baling ialah sebuah daerah yang terletak dalam Negeri Kedah,Malaysia.Ia bersempadan dengan daerah Kulim di sebelah selatan, daerah Kuala Muda di sebelah barat, daerah Sik di utara, Negeri Perak di sebelah tenggara dan Negara Thailand di sebelah timur laut.Ia mempunyai keluasan sebanyak 1530 kilometer persegi atau 590.32 batu persegi.Dengan keluasan tersebut Baling merupakan daerah yang kedua terbesar di Negeri Kedah. (dipetik dari thesis aku,2013,perpustakaan Upm)

Kajian yang aku buat ni kajian lapangan yang memerlukan mental dan fizikal yang stabil.Masa semester akhir memang menguji kesabaran yang tinggi,sampai satu tahap nak bunuh diri.Apa??? tak percaya eh,nah aku tunjuk bukti ni.



stress yang melampau,sweety gantung diri.haha ;p


Kita orang Islam mana boleh bunuh diri walau tekanan sekali pun.Nanti tak masuk syurga tau.Bagi kawan-kawan dan junior yang sedang buat thesis jangan tekanan tau,semua tu dunia je belaka.haha.Rasa macam mental tak berapa stabil keluar la ambil udara segar,lepas tu sambung buat.hehe.



aku yang terlampau tekanan,sampai kena makan raja pokok,
sebab batu belah batu bertangkup tak da zaman lani. ;p


Menurut Asmah Hj Omar (1991:6) dialek adalah satu variasi bahasa yang digunakan oleh sekumpulan manusia yang tinggal di kawasan tertentu.

Selain itu,menurut Asmah Hj Omar (1985:208) beliau telah melakukan kajian tentang dialek Baling yang berkaitan dengan fonologi dialek Baling.Menurut beliau dialek Baling merupakan satu subdialek Patani yang dituturkan juga di Thailand dan Ulu Perak.Menurut beliau lagi dialek Baling mempunyai lapan vokal dan diftong pula digantikan dengan vokal tertentu.

Tambahan pula,menurut Anisah Abdullah (1994:1) melalui gaya pertuturan sesorang boleh diketahui dari mana asal seseorang itu.Keadaan ini menunjukan bahawa dialek ini begitu kuat mempengaruhi bahasa pertuturan seseorang.Dialek banyak memainkan peranan dalam kehidupan masyarakat.Contohnya melalui dialek-dialek yang berbeza di Semenanjung telah wujud pelbagai bentuk kesenian.Antaranya ialah 'Boria' yang menggunakan dialek Kedah-Pulau Pinang.

Berdasarkan fakta yang diberi oleh Prof Asmah Hj Omar,anda semua pasti telah terbuka mata mengenai dialek.Oh!ya,Prof Asmah merupakan anak kelahiran negeri Kedah,dan telah hasilkan banyak buku dan penulisan mengenai negeri Kedah.Tidak lupa aku juga anak kelahiran Kedah,bakal pewaris sasterawan ni.hehe.Baru siap satu thesis,ada hati konon,belum terbitkan buku lagi nampak gaya kena botak kepala dulu kot.haha.Aku nak tunjuk draf thesis yang menyebabkan aku tak tidur tiga hari tiga malam tau.Sedih.



nasib Dr.Raja terima kalau tak nangis tak berlagu aku.wakaka


Kesimpulan yang dapat aku beri berdasarkan analisis data yang diperoleh ialah kebanyakan penduduk menggunakan dialek hilir berbanding hulu yang ratanya golongan berpendidikan dan dialek hilir ini dianggap dialek baku bagi negeri Kedah.Dialek hulu pula banyak digunakan sebagai wadah komunikasi bagi aktiviti tidak rasmi.Walaupun kedua-dua dialek ini berbeza namun tidaklah sehingga boleh menggagalkan matlamat komunikasi tersebut.

Setelah hasil kajian,soal selidik,temu ramah telah dijalankan bagi mendapatkan data maka lengkaplah thesis dialek ini.Penghargaan telah pun aku beri dalam intipati kandungan dan juga di blog dalam entri Dedikasi Buat Tersayang.Harapan aku agar pihak tertentu dapat mengambil tindakan untuk mengumpul, membuku dan memaparkan kosa kata dialek-dialek ini terutama dialek hulu yang semakin hari semakin berkurang penuturnya.Semoga dialek ini akan kekal dan dilihat oleh generasi akan datang.Usaha begini amat diperlukan bagi memantapkan dan memperbanyak lagi khazanah bahasa Melayu di Malaysia khasnya dan di sekitar Nusantara amnya.Akhir kata dariku : 

Pemimpin menggunakan bahasa untuk fahamkan rakyat.
Mahkamah menggunakan bahasa untuk mengadili pesalah.
Peniaga menggunakan bahasa untuk menarik pelanggan.
Pendidik menggunakan bahasa untuk mendidik pelajar.
Ibu bapa menggunakan bahasa untuk menasihati anak.

Jelas membuktikan kita semua memerlukan bahasa dalam kehidupan seharian.Oleh itu,mertabatkan bahasa kita.Tanpa bahasa punahlah negara.Bahasa Jiwa Bangsa.



 pic dari : ambil dekat Pejo.haha








Terima kasih sudi baca,jumpa lagi. :D